[Review] OPPO A92 – Bateri mampu tahan dua hari!

By Burhanudin Zamri | May 15, 2020

Unit review disediakan oleh OPPO Malaysia.

Baru-baru ini OPPO telah melancarkan saudara baharu dalam keluarga Oppo A9. Sebelum ini, OPPO A9 2020 telah dilancarkan dan kini OPPO A92 pula telah muncul. Adakah ia sebuah “sekuel” yang bagus? Mari baca ulasan ini untuk ketahui jawapannya!

Seperti biasa, sebelum penulis memulakan ulasan mari kita lihat dahulu harga serta spesifikasi fon ini. Ia dijual pada harga RM1,199 dan boleh dibeli secara dalam talian di laman rasmi Shopee OPPO Malaysia.

Berikut adalah senari spesifikasi asas OPPO A92:

  • OS: ColorOS 7.1 berdasarkan Android 10
  • Paparan: FHD+ (2400 x 1080) LCD
  • Pemproses: Qualcomm Snapdragon 665
  • GPU: Adreno 610
  • RAM: 8GB
  • Storan: 128GB dengan slot mikro SD
  • Kamera belakang:
    • Kamera utama 48MP
    • Kamera ultrawide 8MP
    • Kamera potret 2MP x 2
  • Kamera hadapan: 16MP
  • Bateri: 5,000 mAh dengan pengecasan pantas 18W

 

Paparan cantik tapi tidak dapat digunakan sepenuhnya

Salah satu ciri yang paling menarik pada OPPO A92 ialah paparannya. Dalam kegunaan biasa untuk aplikasi sosial media dan tontonan YouTube, prestasi skrin ini agak memuaskan.

Malangnya untuk kegunaan permainan video dan tontonan aplikasi lain seperti Netflix, ia tidak dapat menonjolkan kecantikannya. Untuk permainan seperti PUBG Mobile dan COD: Mobile, fon ini hanya mampu main pada tetapan Balanced atau Medium. Untuk tontonan Netflix pula, kualiti tontonan dihadkan ke standard definition (SD) sahaja.

Skrin LCD pada fon ini semestinya tidak sehebat skrin AMOLED yang terdapat di kebanyakan fon Samsung tetapi ia tetap cukup cerah untuk digunakan ketika cuaca panas. Cuma jika anda biasa menggunakan peranti skrin AMOLED, skrin ini akan nampak lemah dari segi kualiti warna.

 

Prestasi gaming yang sedikit mengecewakan

Walaupun fon ini tidak mampu main PUBG Mobile dan COD: Mobile pada tetapan tertinggi, ia masih boleh dimain pada tahap yang memuaskan. Permainan lain seperti Mobile Legends: Bang Bang dan Forza Street juga dapat dimain tanpa sebarang masalah.

Satu aspek yang tetap membuatkan fon ini masih sesuai sebagai satu pilihan untuk penggemar permainan video mudah alih ialah baterinya yang tahan lama. Ia juga mempunyai 3.5mm jack untuk kegunaan fon telinga berwayar.

Dengan pengecasan penuh pada permulaan hari, penulis dapat bermain permainan video selama berjam-jam serta menonton video YouTube sehingga waktu malam tanpa perlu mengecas langsung. Pada keesokan harinya, fon ini masih mempunyai sekitar 20% bateri.

Disebabkan kapasiti baterinya yang sangat besar, kewujudan pengecasan pantas sangat membantu. Ia akan mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit untuk caj dari 2% sehingga 100%.

 

Kamera selfie jelas dan cantik

Kamera utama 48MP OPPO A92 mampu mengambil gambar yang berkualiti biasa-biasa sahaja tetapi ia menghasilkan warna yang tepu. Warna merah menjadi lebih merah dan tumbuh-tumbuhan nampak lebih hijau daripada warna sebenar.

Walaubagaimanapun, gambar portret fon ini layak dipuji. Butiran penghujung objek yang diberikan fokus dipisahkan daripada latar belakang dengan sangat jelas.

Kamera depan juga merupakan satu kekuatan fon ini. Gambar selfie yang diambil dalam keadaan cerah sangat memuaskan. Pada pendapat penulis, gambar yang dihasilkan nampak lebih jelas apabila tidak menggunakan Beauty Filter.

 

Lebih berbaloi jika murah sedikit

Saingan utama OPPO A92 semestinya Samsung Galaxy A51 yang berharga RM1,299. Apabila dibandingkan kedua-duanya, penulis berpendapat lebih berbaloi memilih Samsung Galaxy A51 yang mempunyai skrin dan prestasi yang lebih memuaskan.

Jika OPPO A92 dijual pada harga yang lebih murah, contohnya RM999, maka ia akan menjadi pilihan yang lebih menarik. Untuk sebuah peranti yang berharga lebih daripada RM1,100, ia tidak menunjukkan kelebihan yang sepatutnya ada dalam peranti pada tanda harga tersebut.