[Review] OPPO Reno 3 Pro – Peranti midrange yang mantap

By Burhanudin Zamri | May 27, 2020

Unit review disediakan oleh OPPO Malaysia.

Antara semua kategori telefon pintar, kategori midrange atau pertengahan semestinya paling populak tidak kira di mana-mana negara. Kategori ini mempunyai banyak produk yang mempunyai ciri-ciri setanding produk yang lebih mahal tetapi dijual pada harga yang lebih berpatutan.

OPPO Reno 3 Pro yang dilancarkan baru-baru ini merupakan peranti midrange yang agak menarik. Ia mempunyai beberapa ciri hebat seperti skrin Super AMOLED dan dua kamera hadapan. MyGameOn berpeluang mencuba produk ini selama sebulan dan ini adalah ulasan kami mengenainya.

Sebelum kita memulakan review ini, mari kita lihat senarai penuh spesifikasi telefon pintar ini:

  • OS: ColorOS 7, berdasarkan Android 10
  • CPU: MediaTek Helio P95
  • GPU: PowerVR GM9446
  • RAM: 8GB
  • Storan dalaman: 256GB
  • Bateri: 4,025mAh dengan pengecasan pantas VOOC Flash Charge 4.0 (30W)
  • Harga: RM2,399

Skrin bertaraf flagship

Pada pendapat penulis, skrin yang hebat tidak perlu mencecah tahap resolusi QHD. Resolusi FHD dan FHD+ pun sudah cukup untuk penggunaan yang sangat memuaskan. OPPO Reno 3 Pro mempunyai skrin super AMOLED FHD+ (2400 x 1080) yang boleh dikatakan antara yang terbaik pernah penulis guna.

Pada tetapan kecerahan penuh, paparan ini dapat digunakan di bawah matahari dengan jelas. Penghasilan warna juga menonjolkan kualiti yang tinggi apabila menonton video di YouTube dan Netflix. Jangan risau, fon ini mempunyai kebolehan untuk memaparkan kandungan Netflix pada kualiti HD penuh.

Walaupun fon ini tidak mempunyai tetapan untuk mengubah kadar segar semula dan ia hanya kekal pada kadar 60Hz, ia merupakan tetapan yang sesuai kerana kebanyakan permainan video mudah alih memang dipaparkan pada kadar 60Hz.

Seperti kebanyakan telefon pintar OPPO, OPPO Reno 3 Pro hanya mempunyai satu pembesar suara di bahagian bawah. Untuk kebanyakan penggunaan, ia sudah memadai tetapi untuk permainan video, pengalaman yang memuaskan hanya boleh didapati dengan memakai fon telinga.

Tiada masalah digunakan untuk gaming

Jika anda gemar bermain PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile, Mobile Legends: Bang Bang, dan permainan popular lain, OPPO Reno 3 Pro dapat menangani kesemuanya dengan baik.

Dalam pengalaman bermain dua permainan di atas dan permainan lain seperti Call of Duty (COD): Mobile, Forza Street, dan Asphalt 9: Legends, penulis langsung tidak menemui apa-apa masalah grafik dan kesemuanya dapat dimain pada kadar segar semula tinggi (60Hz).

Dengan adanya bateri berkapasiti 4,025 mAh bersama teknologi pengecasan pantas, permainan tempoh lama juga tidak menjadi masalah. Fon ini dapat dicas daripada 2% sehingga 100% dalam masa lebih kurang satu jam sahaja.

Enam kamera, hampir kesemuanya mantap

OPPO Reno 3 Pro mempunya empat kamera belakang dan dua kamera hadapan. Di bahagian belakang, empat kamera tersebut adalah kamera utama 48MP, kamera telefoto 13MP, kamera ultrawide, dan pengesan kedalaman 2MP. Di bahagian hadapan pula, ia mempunyai kamera utama 44MP dan pengesan kedalaman 2MP.

Pendek kata, prestasi kamera fon ini amat memuaskan. Gambar akan nampak sedikit kabur semasa diambil melalui aplikasi kamera tetapi setelah diambil, nampaknya terdapat sebuah proses yang membuatkan hasil tangkapan tersebut menjadi lebih jelas.

Seperti yang ditunjukkan dalam contoh-contoh gambar dalam ulasan ini, foto yang diambil menggunakan kamera utama OPPO Reno 3 Pro nampak jelas dan mempunyai warna yang cerah dan cantik.

Kamera hadapan pula menghasilkan gambar selfie dan potret yang memuaskan. Prestasi kamera hadapan fon ini boleh dikatakan setanding dengan beberapa fon yang lebih mahal harganya.

Dari segi kualiti rakaman video pula, fon ini mampu rakam sehingga resolusi 4K pada kadar 30fps. Fungsi pengstabilan juga dimasukkan dan mengorbankan kualiti gambar sedikit demi mengstabilkan rakaman video. Apa-apa pun, ia memaparkan rakaman video pada tahap yang memuaskan.

Peranti midrange paling berbaloi daripada OPPO

Pada pendapat penulis, OPPO Reno 3 Pro merupakan antara peranti midrange yang paling bagus pada waktu ini. Ia mempunyai skrin yang hebat, kehidupan bateri memuaskan, kuasa pemprosesan dan grafik yang mencukupi untuk gaming, dan kesemua kameranya menghasilkan gambar yang jelas.

Selain itu, fon ini juga mempunyai storan yang agak besar iaitu 256GB beserta dengan RAM 8GB. Dengan ciri-ciri sebegini, fon ini dengan mudahnya boleh bertahan selama sekurang-kurangnya tiga tahun tanpa anda perlu menukar fon.

Pada harga RM2,399, penulis berasa ia merupakan sebuah pembelian yang berbaloi jika anda sedang mencari peranti midrange. Anda boleh membeli fon ini secara dalam talian melalui laman rasmi Shopee OPPO.

Kelebihan:

  • Skrin SUPER AMOLED FHD+ sangat jelas dan cantik.
  • Kehidupan bateri yang tahan lama beserta fungsi pengecasan pantas yang baik.
  • Boleh main hampir semua permainan video mudah alih pada tetapan tinggi.
  • Kamera belakang dan hadapan menghasilkan gambar berkualiti tinggi.

Kelemahan:

  • Hanya satu pembesar suara, mudah dihalang dengan tangan ketika menonton video dan gaming.
  • Kualiti rakaman video yang biasa-biasa sahaja.
  • Sedikit mahal berbanding peranti midrange lain seperti Samsung Galaxy A71.