[Review] vivo V20 Pro – bergaya dan berkuasa

By Burhanudin Zamri | November 17, 2020

Unit ulasan disediakan oleh vivo.

Vivo baru-baru ini memperkenalkan dua model telefon pintar terbaru dalam siri V mereka iaitu vivo V20 dan vivo V20 Pro. Siri ini dipasarkan dalam kumpulan bajet pertengahan dan kedua-dua model baharu ini masing-masing akan dijual pada harga RM1,499 dan RM1,899.

Dalam artikel ini, penulis berkongsi pendapat penulis tentang model yang lebih premium iaitu vivo V20 Pro. Antara perbezaan dua model ini adalah vivo V20 Pro mempunyai CPU dan GPU yang lebih bagus, paparan HDR, dan dua kamera hadapan.

Dengan adanya CPU Qualcomm Snapdragon 765G dan GPU Adreno 620, penulis yakin telefon pintar ini dapat memberikan pengalaman yang baik untuk permainan video mudah alih. Bateri berkapasiti 4,000mAH bersama teknologi pengecasan pantas 33W juga merupakan ciri-ciri penting.

Jom baca ulasan ini untuk ketahui sama anda peranti ini sesuai atau tidak untuk main permainan video.

 

Skrin cantik, besar, dan ada HDR

Tarikan utama vivo V20 Pro ialah skrin paparannya yang sangat cantik. Ia merupakan sebuah skrin AMOLED bersaiz 6.44 inci dengan resolusi 1080 x 2400 dan hadir bersama HDR10. Ini membolehkan anda untuk menonton kandungan HDR di YouTube dan juga Netflix.

Pengalaman tontonan video di telefon pintar ini sangat memuaskan. Teknologi AMOLED memastikan ia kekal cerah dalam persekitaran terang dan warna yang dipaparkan dapat ditonjolkan dengan baik. Kepada anda yang selalu menonton kandungan di Netflix, tidak perlu risau. Telefon ini boleh tonton kandungan pada kualiti HD penuh.

Apabila bermain permainan, skrin ini memastikan anda dapat melihat grafik yang dipaparkan pada kualiti yang tinggi. Tidak kira sama ada anda sedang bermain Call of Duty: Mobile (CODM) atau Mobile Legends: Bang Bang, semuanya akan nampak jelas dan cantik.

 

Sesuai untuk semua permainan mudah alih

Untuk menguji kebolehan permainan vivo V20 Pro, penulis menggunakan permainan-permainan yang popular dalam kalangan pemain Malaysia seperti CODM, MLBB, PUBG Mobile, League of Legends: Wild Rift (LoLWR), dan Genshin Impact.

Untuk permainan penembakan seperti PUBG Mobile dan CODM, telefon ini dapat bermain pada tetapan grafik tinggi. Lebih penting lagi ialah kedua-dua permainan tersebut dapat dimain dengan kadar bingkai tinggi dan ini memastikan anda dapat bertindak pantas apabila memburu pihak lawan.

Untuk permainan mobile MOBA pula seperti MLBB dan LoLWR, penulis memang berpuas hati dengan prestasi telefon ini. Tetapan grafik dan kadar bingkai boleh ditetapkan pada tetapan tertinggi dan suhu telefon langsung tidak menjadi panas ketika bermain.

Genshin Impact ialah sebuah permainan yang memerlukan kuasa pemprosesan grafik tinggi untuk mendapat pengalaman permainan yang lancar. Untuk memastikan pengalaman permainan sentiasa lancar, anda perlu menetapkan kualiti grafik pada tahap “Low” tetapi ini membenarkan permainan pada kadar bingkai 60FPS. Pada pendapat penulis, ini sudah mencukupi.

Secara ringkasnya, vivo V20 Pro memang sesuai untuk dijadikan telefon pintar seorang gamer. Ia dapat main hampir semua permainan popular pada prestasi dan kualiti yang bagus.

 

Terkejut dengan kehebatan teknologi pengecasan pantas

Teknologi pengecasan pantas sudah menjadi perkara biasa dalam arena telefon pintar hari ini. Walaubagaimanapun, tidak semua telefon pintar hadir bersama teknologi pengecasan pantas yang berkualiti tinggi. Berkualiti tinggi dalam hal ini bermaksud dapat mengecas dengan pantas dan pada waktu yang sama memastikan telefon tidak menjadi terlalu panas.

Vivo V20 Pro ialah salah satu contoh telefon pintar yang mempunyai teknologi pengecasan pantas hebat. Penulis sangat kagum dengan prestasi teknologi ini. Ia dapat mengecas telefon ini dari kadar bateri 1% hingga 100% dalam masa lebih kurang satu jam sahaja.

Apa yang lebih hebat ialah pengurusan bateri telefon ini juga sangat bagus. Penulis dapat menggunakan telefon ini sehari suntuk dengan gabungan permainan dan kegunaan biasa. Pada penghujung hari, penulis selalunya masih mempunyai sekitar 15% bateri.

 

Hanya satu pembesar suara di bahagian bawah

Pada pendapat penulis, vivo V20 Pro hanya mempunyai satu kelemahan iaitu pembesar suaranya. Ia terletak di bahagian kanan bawah telefon. Oleh itu, ia sangat mudah ditutup tangan ketika bermain.

Satu lagi kelemahan pembesar suara ini ialah ia agak perlahan berbanding telefon pintar lain yang dijual pada julat harga yang sama seperti OPPO Reno4 Pro. Ini bukan satu masalah besar jika anda lebih gemar memakai fon telinga. Walaupun telefon ini tidak mempunyai bicu 3.5mm, ia hadir bersama penyesuai USB-C kepada 3.5mm.

 

Telefon pintar bajet pertengahan yang mantap

Jika anda sedang rancang untuk membeli telefon pintar baharu yang harganya tidak mencecah RM2,000, penulis sangat mengesyorkan vivo V20 Pro. Ia hadir bersama ciri-ciri yang bagus untuk peminat permainan video dan juga pengguna biasa. Kamera hadapan dan belakang telefon ini menghasilkan gambar-gambar yang jelas dan cantik.

Kelemahan utamanya ialah pembesar suara yang sedikit lemah. Oleh itu, mereka yang ingin kerap mendengar melalui pembesar suara patut mencuba telefon pintar lain seperti OPPO Reno4 Pro atau Samsung Galaxy A71.

Anda boleh memesan vivo V20 dan vivo V20 Pro secara dalam talian melalui Lazada dan Shopee.

 

Kekuatan:

  • Skrin paparan cantik dan terang.
  • Boleh main kebanyakan permainan popular pada tetapan tinggi.
  • Bateri dan teknologi pengecasan pantas hebat.

Kelemahan:

  • Pembesar suara mudah ditutup dan sedikit perlahan.