[Review] WWE 2K Battlegrounds – tidak menebus dosa WWE 2K20

By Burhanudin Zamri | October 6, 2020

Unit ulasan disediakan oleh 2K Games. Diulaskan di PC.

Para peminat permainan video gusti masih ingat betapa teruknya permainan WWE 2K20 yang dilancarkan pada tahun lepas. Permainan tersebut penuh dengan isu-isu teknikal serta kualiti yang rendah dari segi grafik dan banyak aspek lain.

Jualan yang mengecewakan serta cabaran membangunkan permainan dalam situasi pandemik COVID-19 menyebabkan 2K Games membuat keputusan untuk membatalkan WWE 2K21. WWE 2K Battlegrounds ialah permainan yang mengganti tempat permainan itu untuk tahun ini.

WWE 2K Battlegrounds dilancarkan pada 18 September untuk PC, PlayStation 4 (PS4), Xbox One, dan Nintendo Switch. Ia dibangunkan oleh Saber Interactive, studio sama yang juga membangunkan NBA 2K Playgrounds.

Jelas sekali permainan ini menggunakan rekaan visual ibarat kartun yang jauh berbeza dengan siri permainan gusti WWE 2K yang lebih mementingkan kualiti grafik realisitk. Persoalannya, adakah ia lebih menyeronokkan berbanding WWE 2K20?

 

Tidak mampu menarik perhatian pemain

Dua mod permainan utama WWE 2K Battlegrounds adalah Campaign yang mempunyai jalan cerita tentang watak-watak baharu dalam dunia WWE dan Battleground Challenge di mana pemain akan membuat ahli gusti tersendiri yang boleh dikuatkan lagi dengan sistem naik taraf.

Jalan cerita yang ditonjolkan dalam Campaign berkisah tentang perjalanan ejen WWE Paul Heyman dan ‘Stone Cold’ Steve Austin dalam mencari dan melatih ahli-ahli gusti baharu untuk menjadi Superstar dalam dunia gusti profesional.

Masalah utama jalan cerita ini ialah watak-watak baharu yang diperkenalkan semuanya tidak mempunyai perwatakan yang menarik. Selain daripada itu, teknik penceritaan melalui komik agak membosankan.

Battleground Challenge pula tidak mempunyai jalan cerita, anda hanya akan berlawan dengan ramai ahli-ahli gusti terkenal lain untuk menaikkan level dan menjadikan ahli gusti anda lebih kuat. Ia juga merupakan satu mod permainan yang agak membosankan.

Pada permulaan permainan ini, anda hanya boleh memilih 24 ahli gusti profesional. Secara keseluruhannya terdapat 77 ahli gusti dalam permainan ini tetapi anda hanya boleh menggunakan ahli gusti lain dalam mod-mod permainan lain selepas mendapatkan mereka dalam Campaign.

Ini bermaksud anda tidak boleh serta-merta menikmati pengalaman bermain sebagai ahli-ahli gusti terkenal seperti Asuka, Kevin Owens, dan ramai lagi. Jika anda mahu main mod multi-pemain dengan rakan-rakan, anda perlu main Campaign dahulu untuk mendapatkan lebih banyak ahli gusti.

 

Terlalu ringkas

Penulis menyukai cara permainan yang mudah yang ditonjolkan dalam WWE 2K Battlegrounds. Ia membenarkan lebih ramai pemain, tidak mengira umur, untuk menikmati permainan ini.

Jika anda pernah main permainan-permainan WWE yang pernah dilancarkan sebelum ini, lupakan kawalan-kawalan daripada permainan-permainan tersebut. WWE 2K Battlegrounds jauh lebih ringkas. Anda hanya perlu tahu menekan butang apa dan itu sahaja sudah mencukupi untuk menang hampir semua perlawanan.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara bermasalah seperti pengesanan pukulan (hit detection) yang kerap tersasar dan sistem balasan balingan yang terlalu mudah. Malangnya utuk versi PC melalui Steam, alat kawalan PS4 tidak dapat dikesan dan permainan ini hanya memaparkan kawalan Xbox.

Setiap ahli gusti dikategorikan mengikut kelas-kelas tertentu seperti All-Rounder, Brawler, High Flyer, Technician, dan Powerhouse. Ahli-ahli gusti dalam kategori yang sama kesemuanya mempunyai gaya pertarungan yang sama. Perbezaannya cuma Signature Moves dan ejekan.

Aspek ini menjadikan WWE 2K Battlegrounds satu permainan yang hanya boleh dinikmati dalam jangka masa pendek kerana sistem pertarungannya tidak mempunyai kedalaman. Pada waktu yang sama, ia tetap satu permainan yang menyeronokkan apabila bermain bersama rakan-rakan kerana ia mudah dipelajari dan sesiapa sahaja boleh menikmatinya.

 

Grafik tidak realistik bukan satu masalah

Rekaan visual dalam permainan ini yang tidak realistik bukan salah satu kelemahannya. Penulis sendiri merasakan keputusan untuk menjadikan semua ahli gusta nampak seperti kartun adalah sesuatu yang sangat melucukan dan menghiburkan.

Masalahnya ialah butiran-butiran kecil seperti raut wajah ahli gusti yang tidak bernyawa dan cara pergerakan yang nampak sedikit keras merosakkan penampilan permainan ini.

Dari segi kualiti audio pula, tidak banyak yang penulis boleh puji atau kritik. Cuma satu perkara sahaja yang penulis tidak suka iaitu pengulas seringkali mengulaskan satu tindakan selepas tindakan tersebut sudah berlaku. Banyak ulasan tentang tumbukan watak-watak dilakukan selepas detik tumbukan tersebut sudah lama terlepas.

 

Lebih sesuai untuk kanak-kanak

Penulis yakin WWE 2K Battlegrounds sebenarnya dibangunkan untuk pemain-pemain yang lebih muda. Sistem pertarungan yang terlalu ringkas dan rekaan visual ibarat kartun merupakan faktor-faktor besar yang menyokong kepercayaan ini.

Adakah permainan ini berbaloi dibeli oleh peminat permainan video gusti? Pada pendapat penulis, ia hanya berbaloi dibeli apabila dijual pada harga yang lebih murah pada masa depan. Pada waktu ini, ia dijual pada harga RM129 di Steam dan RM179 di PlayStation Store.

 

Kekuatan:

  • Kawalan mudah dipelajari
  • Rekaan visual yang melucukan

Kelemahan:

  • Beberapa isu teknikal yang menggangu permainan
  • Terlalu ringkas dari segi permainan dan jalan cerita
  • Kebanyakan ahli gusti perlu didapatkan melalui Campaign

SKOR AKHIR: 40/100