Samsung Galaxy S21 Ultra akhirnya tiba dengan paparan Real QHD+ dengan kadar segar 120Hz

By Editorial team | January 18, 2021

Gergasi peranti Android premium, Samsung telah mengumumkan tiga telefon pintar baharu iaitu Galaxy S21, Galaxy S21+, dan Galaxy S21 Ultra.

Peranti mercu Samsung yang terbaharu, Samsung Galaxy S21 Ultra didatangkan dengan skrin sebesar 6.8 inci yang membolehkan pengguna merasai pengalaman resolusi skrin bertaraf Quad HD+ (3,200 x 1,400) dengan kadar segar semula 120Hz. Pengalaman resolusi tinggi serta kadar segar semula 120Hz ini akan ada di seluruh koleksi telefon pintar Galaxy S21.

Walaubagaimanapun, peranti ini akan menyesuaikan kadar segar skrin serendah 10Hz secara automatik, bersesuaian dengan kandungan atau aplikasi yang dipaparkan. Misalnya, permua seperti PUBG Mobile atau Ejen Ali: Agents’ Arena akan dimainkan dengan kadar segar semula 120Hz, manakala kandungan video atau filem akan dipaparkan dengan kadar segar optimum setinggi 60Hz.

 

Galaxy S21 Ultra turut menyajikan paparan yang lebih terang dan jelas sehingga 1,500 nits dan dilengkapi dengan teknologi Eye Comfort Shield untuk keselesaan mata bagi penggunaan jangka masa yang panjang.

Peranti pintar Galaxy S21 Ultra mempunyai kadar segar semula dan resolusi yang tinggi, dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 888, bateri bersaiz 5,000mAh dan sokongan 12GB RAM dengan storan serendah 128GB. Pengguna boleh menaiktaraf RAM sehingga 16GB dan pilihan storan tambahan iaitu 256GB atau 512GB.

Selain itu, kesemua Galaxy S21 hadir dengan reka bentuk bonggol kamera yang tidak terlalu tebal dan bercantum dengan bingkai telefon. Akan tetapi, bonggol kamera ini diperbuat daripada bongkah logam tahan lasak yang sudah pasti akan memberikan perlindungan kepada kesemua kamera yang ada.

Kamera utama Samsung Galaxy S21 Ultra mempunyai sensor pro 108MP dengan ciri phase-detect auto-fokus yang mampu menangkap gambar beresolusi tinggi 12 Bit HDR yang menawarkan sehingga 64 kali ganda data warna.

Apa yang menariknya, Galaxy S21 Ultra didatangkan dengan bukan satu, tetapi dua kamera telefoto 10MP. Kedua kamera telefoto ini mempunyai ciri dual-pixel auto-fokus dan kebolehan zum sehingga 100x, menggunakan teknologi Galaxy S21 Ultra’s 100x Space Zoom. Manakala, kamera ultra-luas Samsung Galaxy S21 Ultra mempunyai kebolehan untuk menangkap sehingga 120 darjah pandangan serta dilengkapi juga dengan ciri dual-pixel autofokus. Kesemua empat kamera boleh merekod kualiti video setinggi 4K 60 FPS (frame per saat) dengan kebolehan merekod video 8K dengan aplikasi 8K Snap dari Samsung.

Kapabiliti zoom ini adalah lebih baik berbanding keluaran yang dulu. Walaupun zoom sepenuhnya gambar tidak kelihatan kabur seperti dulu.

Pengguna Samsung yang menyukai S-Pen tidak perlu gusar kerana Samsung Galaxy S21 Ultra dikhabarkan akan menyokong penggunaan S-Pen. Akan tetapi, ianya akan dijual berasingan kerana telefon pintar ini tidak mempunyai ruang penyimpanan S-Pen seperti koleksi Samsung Note.

Samsung Galaxy S21 Ultra kini boleh dipra-tempah pada harga RM 5,299 dan akan dijual secara rasmi pada 29 Januari nanti. Pengguna yang membuat pra-tempahan sebelum 28 Januari akan mendapat kredit Samsung sebanyak 200 USD serta Galaxy SmartTag secara percuma.

 

Samsung Galaxy S21 dan Galaxy S21+

Peranti separa mercu dalam koleksi Galaxy S21 ini pula mempunyai saiz skrin yang sedikit kecil iaitu 6.2 inci untuk Samsung Galaxy S21 dan 6.7 inci untuk Samsung Galaxy S21+.

Kedua-dua peranti ini menyokong paparan resolusi Full HD+ (2,400 x 1,080) dan disertakan juga dengan kadar segar semula 120Hz.

Bagi kuasa pemprosesan pula, Galaxy S21 dan Galaxy S21+ juga dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 888, disokong oleh kapasiti RAM 8GB dan storan 128GB atau 256GB. Manakala untuk bateri pula, Galaxy S21+ mempunyai 4,800 mAh, sedikit tinggi daripada Galaxy S21 (4,000 mAh).

Untuk segmen kamera, Galaxy S21 dan Galaxy S21+ mempunyai tiga kamera, tidak seperti Samsung Galaxy S21 Ultra. Kedua peranti ini dilengkapi dengan kamera ultraluas 12 MP, kamera telefoto 64MP, ciri phase-detect auto-fokus dan optik 3X OIS yang membolehkan kamera zoom sehingga 30x menerusi 30x Space Zoom.

Harga pra-tempah untuk Galaxy S21 bermula pada RM3,699 manakala Galaxy S21+ pula boleh dipra-tempah dengan harga RM 4,299. Seperti Samsung Galaxy S21 Ultra juga, pengguna yang membuat pra-tempahan sebelum 28hb Januari akan mendapat Galaxy SmartTag serta kredit Samsung sebanyak RM818 untuk Galaxy S21 atau RM918 untuk Galaxy S21+.

Klik di sini untuk info lanjut.

Penulis: Muhammad Zulikhmal Bin Zulkarnine