SCG: Yoodo Gank Bersedia Hadapi Permainan Siber Selangor Sabtu Dan Ahad Ini

By Hazril Md Nor | October 23, 2019

Pasukan PlayerUnknown’s Battlegrounds mudah alih (PUBG Mobile), Yoodo Gank menyasarkan kedudukan tiga teratas dalam saingan Permainan Siber Selangor (SCG 2019) yang akan bermula pada Sabtu dan Ahad ini di Central i-City, Shah Alam.

“Untuk SCG nanti, pasukan ini akan berlawan sama seperti di PMCO yang dibarisi oleh skuad-skuad hebat dari serata Malaysia.

“Oleh itu, kami menyasarkan podium bagi kejohanan ini,” kata pengurus pasukan Yoodo Gank, Kevin Wong.

Walaupun pasukan ini mempunyai pengalaman di peringkat Asia Tenggara, kata Kevin, tahap kompetitif masih tinggi kerana terdapat pasukan PMCO lain yang menyertai.

“Saya rasa SCG akan jadi platform yang bagus untuk pemain ini menunjukkan kemahiran berbanding meletakkan posisi mereka sebagai salah satu pasukan yang terbaik di Malaysia.

“Sejak pulang dari PMCO pada pertengahan Oktober, mereka sudah pun berlatih dengan bersungguh-sungguh sebagai satu skuad selain memfokuskan pada rutin harian seperti biasa.

“Boleh dikatakan mereka tak pernah berhenti berlatih kerana mereka juga perlu ke Bangkok untuk PMCO SEA Grand Finals pada minggu depan,” katanya.

Selain Yoodo Gank, turut mendapat jemputan terus ialah VIP Squad, Team Secret, AROV Esports dan Bapak Ah.

Permainan mudah alih PUBG Mobile dipertandingkan bersama Dota 2, FIFA 20 dan Tekken 7 dengan hadiah wang tunai terkumpul RM215,000! Namun, kali ini permainan kegemaran ramai, Mobile Legends tidak disertakan.

Ini adalah pecahan prizepool mengikut permainan e-sukan yang dipertandingkan:

Dota 2 – RM30,000 (128 pasukan bermain online dan 8 pasukan layak ke peringkat akhir selepas tamat kelayakan)

PUBG Mobile – RM100,000 (512 pasukan bermain online dan 6 pasukan jemputan + 10 pasukan yang ditapis daripada kelayakan akan bertembung di peringkat akhir)

FIFA 20 – RM55,000 (512 pemain)

Tekken 7 – RM30,000 (128 pemain)

Ini adalah kali keenam kejohanan seumpama ini diadakan bersama Majlis Sukan Negeri Selangor, Mineski Events Team Malaysia dan Big Machinez.

Acara ini juga mendapat sokongan daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Persatuan Esports Selangor (ESS) dan Tencent.

Walaupun tiada Mobile Legends, permainan e-sukan yang sudah lama bertapak seperti Dota 2 dan FIFA masih dikekalkan. Ia boleh dilihat sebagai suatu langkah yang patut dipuji kerana masih memberi ruang kepada pemain e-sukan negara bertanding dalam permainan di platform PC dan konsol.

Foto: Facebook VSPN