Segala Yang Korang Perlu Tahu Tentang MPL MY/SG Musim Keempat

By Hazril Md Nor | August 22, 2019

Liga Professional Mobile Legends MY/SG (MPL) Musim Keempat akan tiba bermula Sabtu (24 Ogos) hingga 29 September ini! Sudahkah anda bersedia?

Ia mempertandingkan sebanyak AS$100,000 (RM415,000) dan akan disiarkan di Facebook Mobile Legends: Bang Bang setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 4 petang.

Artikel berkaitan: MPL akan ditayangkan di TV9

Di sini penulis senaraikan info-info penting yang korang wajib tahu!

 

Pasukan bertanding

Ini adalah pasukan dari Malaysia:

  • Shopee Bosskurr
  • Axis Esports
  • Xpax X-Assins
  • Geek Fam
  • TODAK (menang kelayakan)
  • Sabah Top Player (menang kelayakan)

Ini adalah pasukan dari Singapura:

  • EVOS Esports SG
  • Resurgence
  • Notorious Villains (menang kelayakan)
  • Louvre Esports (menang kelayakan)

 

Format pertandingan, apa yang berubah?

Kali ini, kedudukan kumpulan akan ditentukan mengikut jumlah perlawanan best of three yang dimenangi dan tiebreaker pula akan ditentukan mengikut perbezaan menang dan kalah bagi setiap kumpulan (contohnya perlawanan yang dimenangi akan ditolak dengan perlawanan yang kalah) untuk dikira.

Jika perbezaan kalah dan menang adalah sama, keputusan terakhir dalam carta akan ditentukan oleh prestasi pasukan sepanjang musim liga.

Seperti biasa, lapan kumpulan di kedudukan teratas carta akan layak ke playoffs manakala dua kumpulan di kedudukan tercorot akan disingkirkan.

Siapa yang layak ke upper bracket ketika Playoffs? Mereka adalah empat pasukan dengan skor tertinggi dan empat terbawah akan ke lower bracket untuk bermain pusingan kalah mati.

 

Ada viewing party besar-besaran

Contoh Viewing Party untuk kejohanan e-sukan.

Untuk menghangatkan lagi MPL kali ini, peminat di sekitar Lembah Klang boleh beramai-ramai menyaksikan viewing party di Rasta, Taman Tun Doktor Ismail, Kuala Lumpur pada 15, 21 dan 29 September ini. Pelbagai aktiviti boleh disertai dengan hadiah menarik boleh dimenangi.

Malah, ia percuma! jadi korang boleh bawa rakan-rakan yang peminat tegar MLBB untuk ‘tumpang sekaki’.

 

Pasukan yang mengalami perubahan dan yang baru menyertai

Sabah Top Player mempunyai pemain yang paling muda dalam kejohanan ini, Isaac “Proler” Chang yang berusia 14 tahun. 

Bagi Louvre Esports, Singapura, mereka disertai oleh veteran dari MPL MY/SG, Lim “ly4ly4ly4” Yang dan Jason “JasonKoh” Koh dari Bigetron SG yang sudah dibubarkan. Pada peringkat kelayakan, mereka bermain di bawah nama NoSponsorGaming tapi kemudian dijenamakan semula sebagai Louvre Esports.

Axis Esports pula dianggotai bekas pemain Reborn iaitu Muhammad Firdaus “Rynn” Abdul Jamil, Fiqri Atiq “Lacid” Mohd Fauzi Lai, Muhammad Nur Hafis “Evilx” Jamiran dan Saw “Loong” Kee Loong. Mereka menjuarai MPL MY/SG Musim Kedua. 

Bagi Singapura, Nara Esports SG telah pun dibubarkan dan dua pemainnya, Nashrudin “Fenrir” Kamsani dan Ng “Kolia” Shao Ming menyertai Notorious Villains yang juga dikenali sebagai Nocte Volpe dalam pusingan kelayakan.

Mereka yang bertanding di musim liga ini layak menerima subsidi mingguan sebanyak RM1,450 bagi setiap pasukan dan bonus sehingga RM2,490 untuk setiap perlawanan yang dimenangi.

 

Jadual musim liga

Musim liga ini akan bermula pada 24 Ogos hingga 29 September 2019. Strim di Facebook rasmi MLBB akan bermula pada waktu berikut:

  • Minggu 1: 24 – 25 Ogos 2019 
  • Minggu 2: 31 Ogos – 1 September 2019 
  • Minggu 3: 7 – 8 September 2019 
  • Minggu 4: 14 – 15 September 2019 
  • Minggu 5: 21 – 22 September 2019 
  • Minggu 6: 28 – 29 September 2019 

Setiap minggu, Sabtu dan Ahad pada jam 4 petang.

—–

Saksikan juga MPL MY/SG setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 7 malam di TV9!

Artikel berkaitan: MPL akan ditayangkan di TV9

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.