Simulacra 2: Tarikh Pelancaran Bakal Diumumkan Pada Tahun Ini & Dengarkan Album Rasmi Di Spotify & Apple Music

By Intan Mawarni | October 24, 2019

Selepas Simulacra dan Simulacra: Pipe Dreams, Kaigan Games telah mengumumkan sekuel untuk siri game bertemakan ‘found phone’ bertajuk Simulacra 2 pada bulan lepas.

Simulacra 2 kembali dengan aplikasi interaktif menarik dan naratif kompleks yang dibantu oleh barisan pelakon sebenar untuk menghasilkan cerita seram padu berbanding Simulacra pertama.

Dalam Simulacra 2, korang dikejutkan dengan misteri kes kematian seorang pengaruh sosial media (social media influencer) yang didakwa mati secara mengejut. Namun, Detektif Murillo syak ada udang di sebalik batu.

Lalu, dia menyerahkan sebuah bukti penting iaitu telefon pintar mangsa. Bermula dari situ, korang perlu mencari punca sebenar di sebalik misteri ini dengan menyemak sejarah mangsa melalui telefon pintar berkenaan dan soal siasat suspek-suspek utama.

Menurut Aksiz, pengasas Kaigan Games, Shahrizar Roslan berkongsi album rasmi Simulacra 2 sudah boleh didengarkan di platform strim muzik seperti Spotify dan Apple Music. Lagu-lagu yang diketengahkan dalam album ini sebenarnya berdasarkan watak-watak yang diceritakan dalam game seram ini.

Semasa di sidang media Level Up KL 2019, Shahrizar mengumumkan mereka bekerjasama dengan Wales Interactive bagi melancarkan Simulacra 2 di konsol seperti PlayStation 4, Xbox One dan Switch. 

Wales Interactive adalah studio indie berpengkalan di Wales, United Kingdom yang terkenal dengan game bertemakan filem interaktif ala Black Mirror Bandersnatch seperti Late Night dan The Bunker.

Setakat ini, tiada lagi tarikh rasmi untuk Simulacra 2. Namun, pengasas studio mengesahkan tarikh sebenar Simulacra 2 akan diumumkan di Level Up KL yang bakal berlangsung pada 6 hingga 10 November ini.

Simulacra 2 akan dilancarkan di Android, iOS dan Steam (PC).

Siapa yang tak sabar-sabar nak main sekuel Simulacra ini? Kongsikan keterujaan korang di FacebookTwitter dan Instagram.