Skin CSGO paling mahal bernilai lebih dari harga sebuah rumah

By syazwanbahri | September 19, 2021

Pemain Counter Strike: Global Offensive (CSGO) tidak asing lagi dengan aktiviti bertukar skin, lebih-lebih lagi dalam bentuk skin pisau kerana item pisau adalah item paling jarang dan mahal dalam pasaran permainan itu.

Malahan, terdapat segelintir pemain yang mengumpul skin CSGO yang berharga tinggi ini sebagai sebentuk pelaburan kerana harganya mungkin akan naik atau turun mengikut trend semasa serta nilai item itu. 

Kebelakangan ini, komuniti CSGO dikejutkan dengan sebuah tangkap layar yang menunjukkan harga sebilah pisau Karambit serta perbincangan dalam pembelian skin pisau itu.

Foto dari ohnePixel

Peniaga skin terkenal ohnePixel yang juga menjadi orang tengah dalam transaksi penukaran skin ini meletakkan nilai skin itu sekitar AS$1,412,820 (RM5.89 juta). Namun, harga itu bukan harga sebenar pisau itu kerana pemilik skin pisau, Newb Rage, menganggarkan bahawa nilai harga skin itu melebihi AS$1,400,000.

Ini adalah harga yang paling mahal dalam sejarah skin CSGO.

Karambit itu dilengkapi dengan skin Case Hardened yang keseluruhannya berwarna biru muda yang dikenali sebagai ‘Blue Gem’ dalam komuniti CSGO. ‘Blue Gem’ amat berharga kerana digemari ramai atas warna biru unik pisau itu.

Karambit itu berada dalam keadaan Factory New serta mempunyai Wear Rating 0,0480 dan Pattern Template 387. Ini menjadikannya salah satu skin pisau paling jarang di CSGO kerana ia kelihatan benar-benar biru di satu sisi, menghasilkan nama ‘Blue Gem’’.

Newb Rage mengatakan bahawa beliau membeli skin pisau itu sekitar tahun 2016 pada harga lebih kurang AS$100,000 USD (RM417,000) dan nilai harga skin pisau itu sudah melonjak secara drastik.