Star Wars Battlefront 2 Akan Membawa Masuk Obi-Wan Kenobi Akhir November Ini

By Intan Mawarni | November 22, 2018

Star Wars Battlefront 2 mungkin terpalit dengan kontroversi microtransaction yang menggugat keadaan game tetapi EA menyampaikan satu berita baik terhadap semua peminat Star Wars!

Jedi Master Obi-Wan Kenobi bakal tiba dalam Star Wars Battlefront 2 yang sebahagian daripada DLC Battle of Geonosis pada 28 November ini.

Untuk game ini, EA menghidupkan kembali watak Obi-Wan Kenobi mengikut penampilan pelakon Ewan McGregor dalam Star Wars: Episode III – Revenge of the Sith berbanding mengambil paras rupanya yang lebih berumur semasa A New Hope dan dilakonsuara oleh James Arnold Taylor, pelakon suara Obi-Wan untuk siri animasi Star Wars: The Clone Wars.

Obi-Wan Kenobi bukan calang-calang Jedi. Jedi Master ini tenang dalam setiap serangan diambil, mempunyai pertahanan teguh dan cekap menguasai Force serta antara General yang terlibat dalam Clone Wars.

Antara kebolehannya adalah Defensive Rush iaitu Obi-Wan menerjah ke hadapan sambil mengayunkan pedang lightsaber yang berwarna biru, menghalang tembakan musuh di hadapannya. Dia juga pakar dalam memanipulasikan fikiran dengan menggunakan Restrictive Mind Trick yang boleh mengganggu tumpuan musuh buat seketika waktu. Obi-Wan juga mempunyai All-Out Push yang lebih kuat berbanding kuasa tolakan Luke Skywalker.

Menurut EA, keputusan untuk membawakan watak Obi-Wan lebih muda adalah selari dengan pelan panjang membawakan Anakin Skywalker sebagai hero Star Wars Battlefront 2 pada Februari tahun hadapan.

Obi-Wan Kenobi dan peta Geonosis akan diberikan secara percuma untuk semua pemain Star Wars Battlefront 2. Game ini sudah pun dikeluarkan di PC, PS4, Xbox One.

Sumber: IGN