Stardew Valley Akan Dilancarkan Di iOS Pada Hujung Oktober, Akan Hadir Di Android

By Intan Mawarni | October 10, 2018

Dah syok bercucuk tanam dan jaga kebun korang di PC dan konsol?

Stardew Valley merupakan sebuah game indie farming simulation popular diinspirasikan dari siri Harvest Moon yang dilancarkan pada 26 Februari 2016 di PC dan kemudiannya ke pelbagai konsol termasuk PS4, Xbox One dan Nintendo Switch pada tahun lepas.

Dalam game ini, korang menjaga kebun peninggalan datuk di kampung digelar sebagai Stardew Valley. Kini korang boleh menguruskan kebun dan berinteraksi dengan penduduk kampung lain melalui telefon pintar.

Pencipta Stardew Valley, Eric “ConcernedApe” Barone umum Stardew Valley bakal tersedia di iOS terlebih dahulu pada 24 Oktober ini manakala versi Android masih lagi dalam proses pembangunan. Tarikh pelancaran rasmi di Android akan diumumkan kemudian.

Keseluruhan Stardew Valley akan dikeluarkan dalam versi mobile sampai ke patch terbaru 1.3 di PC dan disesuaikan dengan skrin sesentuh mobile seperti sistem menu, kawalan gameplay dan UI baru. Namun, tiada mod multiplayer untuk versi mobile.

Yang paling menarik, Stardew Valley tiada microtransactions langsung. Jadi, korang boleh dapatkan Stardew Valley dengan harga USD$7.99 (RM33) terus.

Kalau korang teringin sangat nak main game farm simulation dalam mobile, Harvest Moon: Light of Hope baru sahaja dilancarkan di iOS! Klik di sini untuk maklumat lanjut.