LCQ
TashBunny teruja terbang ke Dublin, Ireland jadi hos kejohanan VCT APAC LCQ
Berpeluang terbang ke negara Eropah bagi menggapai cita-cita mengulas atau menjadi hos kejohanan e-sukan pastinya menjadi impian ramai orang.
Bagi Natasha Hashim atau TashBunny, peluangnya menjadi hos kejohanan VALORANT Champions Tour (VCT) Asia Pasifik peringkat peluang kelayakan terakhir (last chance qualifier) adalah satu pengalaman berharga sepanjang kariernya.
Bercakap kepada penulis, Tash berkata dia tidak sangka boleh menjejakkan kaki ke pentas antarabangsa.
“Menjadi salah seorang ahli panel dan sebagai satu-satunya wanita dari Malaysia adalah satu penghargaan besar buat saya. Tak pernah dalam hidup terfikir untuk ke pentas antarabangsa.
“Malah, peluang berada bersama barisan talent lain di fasiliti Riot Games iaitu Project Stryker di Dublin, Ireland adalah satu pengalaman yang luar biasa,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.
Tash berkata, pengulas yang lain sememangnya penuh dengan inspirasi.
“Ramai yang hadir dari negara berlainan dan mereka membawakan tahap pengulasan dan persembahan yang berbeza. Sedikit sebanyak saya boleh belajar dengan mereka juga.
“Bagi saya yang paling mencabar bagi kejohanan ini adalah tahap keyakinan diri. Ini adalah kali pertama di pusat Riot Games bersama pengulas antarabangsa jadi saya sedikit gementar. Saya ingin lakukan yang terbaik!,” katanya.
Tash juga tidak terlepas berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan menerusi panggilan video.
LOOK WHO I RAN INTO IN IRELAND!!! pic.twitter.com/knrISnbarE
— Tashbunny ✨VCT APAC 2022 (@_tashbunny) August 1, 2022
Ketika ditanya siapa inspirasi dalam bidang pengulasan dan pengacaraan, Tash berkata dGon adalah individu yang menjadi inspirasi buatnya.
“Dia mempunyai pengalaman sangat luas bekerja dengan Riot dalam League of Legends, Wild Rift dan kini VALORANT.
“Kejayaannya adalah satu ‘standard’ yang saya letakkan dan ingin capai. Bertemu dengannya secara bersemuka sangatlah seronok,” katanya lagi.
Akhir sekali, Tash berkata, dia mengatakan kekuatannya dalam bidang pengacaraan terutamanya VALORANT adalah dengan menggabungkan hiburan dan informasi.
“Saya rasa ini adalah satu kemahiran sukar disempurnakan tapi saya masih cuba belajar untuk menjadi mahir,” akhirinya.
Jika anda ingin mengikuti perjalanan TashBunny sebagai hos di VCT APAC LCQ, ikutinya di Twitter @_tashbunny
Selain mengulas VALORANT, Tash juga pernah mengulas PUBG Mobile (PMPL), Free Fire (MCP Majors) dan menjadi pencipta kandungan Galaxy Racer.