MEL
Liga E-Sukan Malaysia (MEL) akan kembali, bakal tampilkan Free Fire
Liga E-Sukan Malaysia (MEL) akan kembali untuk edisi ketiga pada bulan September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI), Ahmed Faris Amir berkata, liga ini kembali dengan kelainan di mana Free Fire akan dipertandingkan buat pertama kali. Selain itu, tiga e-sukan lain turut dipertandingkan adalah PUBG Mobile, FIFA 22 dan Mobile Legends.
“Bagi kategori peringkat negeri dan kebangsaan, empat e-sukan ini akan dipertandingkan. Bagi kategori terbuka, masih belum ada kata putus tapi Dota 2 akan dimasukkan,” katanya ketika ditemui media di Spacerubix, Puchong, Selangor, hari ini.
“Kita memang nak jemput lagi ramai pasukan menyertai. Tahun ini kita ada hadiah wang tunai terkumpul RM220,000.
“Tapi kami berharap dapat tajaan dari pihak swasta jadi kejohanan ini akan jadi lebih rancak dan ramai penyertaan,” katanya,
Faris berkata, misi mereka tetap sama iaitu menggalakkan lagi pembabitan atlet e-sukan terutamanya di peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan lain, ESI dalam perancangan untuk menganjurkan Anugerah E-Sukan Malaysia (MESA) bagi memberi pengiktirafan kepada penggiat industri seperti penganjur, media, pemain, agensi dan lain-lain.
“Kami rasa e-sukan ini sudah lama berada di Malaysia dan inilah masanya untuk memberi penghargaan kepada mereka.
“Dari segi kategori, masa dan jawatankuasa yang akan bersama kami untuk tentukan pemilihan siapa yang terbaik ini, kami bakal umumkan dalam masa terdekat,” katanya.