OnTheGo
Pandangan J Hunter, OnTheGo dan Pengurus Team Secret, Arif terhadap PMPL MYSGPH
Baru-baru ini PUBG Mobile di Filipina sudah mengumumkan bahawa mereka akan menjadi wilayah PMPL ketiga bersama MYSG (Malaysia dan Singapura) dan membuatkan PMPL MYSGPH terbentuk.
Penulis berpeluang menemubual beberapa orang yang sudah banyak membantu dalam membangunkan e-sukan PUBG Mobile di Malaysia.
Beberapa pandangan dari tiga individu yang sangat menonjol dalam e-sukan PUBG Mobile di Malaysia.
Partibhan “OnTheGo” Petchayappen (Pengulas)
“Saya rasa keputusan oleh Tencent sudah lama dibincangkan dan dibuat kajian.
“Malaysia juga antara negara yang terbaik dalam Asia Tenggara dan pernah melayakkan diri ke kejohanan dunia. Penambahan FIlipina ke PMPL MYSGPH sudah diperincikan dengan baik.
“Saya menerima dan menyokong keputusan mereka (Tencent),” katanya.
OnTheGo juga mengatakan, sebagai bekas pengurus pasukan, dia sudah lama menunggu liga Malaysia dijadikan francais.
Katanya, banyak faedah untuk ekosistem e-sukan secara menyeluruh. Namun, katanya, adakah Malaysia sudah bersedia untuk liga francais?
“Sebagai contoh, pasaran Indonesia adalah sangat besar dan ramai pelabur. Malaysia pula tidak mempunyai pasukan yang banyak seperti Indonesia.
“Mobile Legends Bang Bang juga berjaya membuat liga francais di Singapura dan hal ini sepatutnya dilihat baik untuk PMPL. Penambahan ini adalah satu permulaan baru untuk francais liga kita,” katanya.
Tambahnya, Filipina yang menyertai PMPL sebenarnya mempamerkan prestasi yang hebat.
“Malah saya rasa ramai pemain tidak mengadu mengenai hal ini. Gaji mereka juga akan dinaikkan akibat slot yang menjadi lebih sukar dan kompetitif.
“Jadi perkara ini sebenarnya lebih baik untuk organisasi. Saya akan sokong sepenuhnya hal ini!,” katanya.
Dia mengakhiri perbualan dengan mengatakan komuniti tempatan perlukan masa untuk menyesuaikan diri dan dia bersyukur Tencent memikirkan lebih kepada masa hadapan PUBG Mobile.
Arif (Pengurus Team Secret)
View this post on Instagram
“Secara jujur saya merasakan kemasukan pasukan Filipina ke dalam PMPL kali ini akan membuat pertandingan lebih kompetitif dari yang lepas.
“Banyak pasukan yang kuat dari Filipina terutamanya Blacklist International.
“Saya juga mengharapkan pasukan Malaysia dapat meningkatkat lagi prestasi terutamanya disebabkan penambahan ini untuk musim hadapan,” katanya.
JHunter
“Bagi saya keputusan PMPL kali ini adalah cuma slot tambahan sahaja dan saya menerima keputusan ini. Filipina pula selalu membuat meta baru dan hal ini sepatutnya boleh dicuba pemain-pemain kita.
“Kenapa tidak untuk membantu lagi pemain-pamain dari Malaysia.
“Bagi saya sebenarnya lebih bayak positif yang kita akan dapat daripada keputusan ini,” katanya.
J bagaimanapun menyatakan kerisauannya berkenaan suasana permainan yang mungkin lebih toksik.
“Namun, semua ini sebenarnya tidaklah toksik macam yang disangka. Pemain-pemain lain pun saya rasa ramai tidak takut atau tidak puas hati dengan keputusan ini.
“Ada orang yang berfikiran keputusan ini akan kurangkan peluang tetapi sebenarnya ini menjadikan PMPL MYSGPH lebih kompetitif.
“Slot untuk PMPL juga bertambah dan hanya dua slot tambahan jadi saya rasa hal ini tidak membawa masalah,” katanya.
Kata J, jika dibandingkan dengan e-sukan lain, Tencent dan PUBGM agak baik hati berbanding format e-sukan lain yang mana sesetengahnya sangat sukar memasuki pusingan kelayakan.
Bagi kejohanan besar seperti PMPL Asia Tenggara, berkemungkinan besar pasti akan ada pasukan Malaysia.
———
Ramai sebenarnya berpendapat bahawa penambahan Filipina menjadi PMPL mempunyai lebih banyak impak positif dari negatif.
Semoga keputusan yang dibuat ini dapat membantu dan memperbaik lagi situasi e-sukan PUBG Mobile di Malaysia terutamanya untuk PMPL.