The Company Man
Permainan Malaysia, The Company Man, akan hadir di Nintendo Switch hujung bulan ini
The Company Man adalah sebuah permainan hasil ciptaan Forust Studio yang bertapak di Selangor, Malaysia. Permainan indie ini asalnya dilancarkan pada 28 Mei tahun lepas dan menerima pujian dari pelbagai pihak dan media. Malah, permaianan ini mempunyai peminat dari serata dunia.
Kini, The Company Man akan dilancarkan di konsol hibrid Nintendo Switch.
Sebagai Jim dalam The Company Man, anda bermain sebagai pekerja yang baru memulakan kerjaya di Good Water Company. Sebaik sahaja bermula, anda menyedari bahawa anda tidak menyukai cara syarikat itu dijalankan dan memulakan misi untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dalam apa jua cara yang diperlukan.
Pemain perlu berlari, melompat dan berjuang melalui tujuh jabatan korporat sambil anda berusaha ke puncak syarikat untuk mengalahkan bos terakhir, iaitu bos anda. Setiap tahap mempunyai pelbagai kesukaran supaya anda boleh mengubah cabaran agar sesuai dengan tahap kemahiran anda semasa anda bermain.
Forust Studio amat aktif dalam menambah baik permainan ini kerana mereka peka akan komen serta kritikan positif yang ditujukan kepada memperbaiki permainan ini.
Jika anda berminat untuk melihat apa yang dilakukan oleh Forust Studio, anda boleh melawati laman Facebook mereka di sini, atau jika anda ingin permainan ini di Steam, boleh dilihat di sini.
Permainan ini akan dilancarkan di Nintendo Switch pada 21 Januari dengan harga AS$19.99 (RM84). Permainan ini juga akan dilancarkan secara fizikal di Asia dalam masa akan datang.