Tahniah Malaysia! pasukan FIFA Pro Clubs negara layak ke Piala Dunia 2021

By Hazril Md Nor | August 5, 2020

Satu kejayaan besar buat Malaysia apabila pasukan FIFA Pro Clubs berjaya layak ke Piala Dunia 2021 bagi permainan video FIFA yang dianjurkan baru-baru ini.

Kejayaan tersebut diraih apabila Malaysia berjaya menggagalkan hasrat pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan Grand Final VPG Piala Asia 2020 pada Ahad di mana Malaysia berjaya menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan dimainkan.

Berkongsi kejayaan tersebut, pengurus pasukan Malaysia, Amirul Ashraf Hassan Nordin berkata, keserasian adalah kunci utama kemenangan ini.

“Dalam perlawanan yang dimainkan oleh 11 orang pemain, semestinya taktikal dan formasi harus berkesan selain keserasian antara pemain.

“Semua pemain 25 orang dan kami bertukar-tukar pemain pada setiap permainan terutamanya ketika final,” katanya.

Amirul berkata, negara Asia adalah penyandang kejohanan ini di mana Kurdistan adalah juara dunia tahun lalu. 

“Kemenangan ke atas skuad hebat Asia ini membuktikan Malaysia sudah bersedia menyahut cabaran lebih besar.

“Malah, pada tahun depan di final (Januari), kami letak sasaran tertinggi dan mahu raih kedudukan lapan terbaik,” katanya.

VPG Piala Asia 2020 adalah satu kejohanan dianjurkan Virtual Pro Gaming. Pasukan Malaysia berjaya layak secara terus ke peringkat dunia menerusi kemenangan ini.

Di peringkat akhir perlawanan tersebut, Muhammad Imran Burhanudeen (ImranDeen) dan Muhammad Zaqwan Saidan (zqwan) adalah penjaring terhebat di final.