The Game Awards 2018 Pecah Rekod Sendiri, Menarik 26.2 Juta Tontonan Setanding Anugerah Oscars

By Intan Mawarni | December 13, 2018

The Game Awards 2018 meraihkan game yang menghiasi tahun 2018 dan komuniti gaming & esports telah menawan ramai hati penonton.

Anugerah yang diadakan pada minggu lepas berjaya mengatasi rekod tontonan dengan seramai 26.2 juta penonton iaitu dua kali ganda lebih ramai berbanding acara tahun lepas dengan 11.5 juta tontonan di Twitch. 

Catat angka tertinggi di Twitch, YouTube, Twitter dan Facebook

Logo rasmi The Game Awards

The Game Awards tahun ini meluaskan tayangan di pelbagai platform livestream terkenal seperti Twitch, YouTube, Twitter, Facebook dan Steam. Twitch, selaku saluran rasmi The Game Awards 2018 menyenaraikan anugerah ini sebagai salah satu siaran langsung paling terbesar dengan seramai 1.13 juta menonton The Game Awards 2018 secara serentak.

Tambahan pula, lebih daripada 3,300 streamer turut menyiarkan anugerah melalui saluran mereka tersendiri di Twitch sambil memberikan ulasan langsung berkenaan anugerah gilang-gemilang kepada pengikut saluran mereka.

Penonton di YouTube juga mencatatkan rekod tontonan berlipat kali ganda berbanding siaran tahun lepas. Anugerah ini berjaya mencapai tontonan serentak kira-kira 4 juta penonton dari seluruh dunia.

The Game Awards tetap menjadi trending di Twitter tanpa putus setiap tahun dan mempunyai jangkauan penonton unik 1.3 kali lebih tinggi pada tahun ini.

The Game Awards juga hangat diperkatakan di Weibo, sebuah laman media sosial khusus untuk negara China dengan 56 juta tontonan bersama 310,000 post tersendiri. Anugerah ini ditayangkan ke setiap pelusuk dunia termasuk benua Asia Tenggara melalui Tamago, Bigo TV dan NIMO TV.

Jutaan undian orang ramai

Orang kuat Santa Monica Studios di sebalik tabir God of War semasa penerimaan anugerah Game of the Year

Untuk edisi The Game Awards tahun ini, pemain boleh mengundi game dan personaliti kegemaran mereka melalui laman rasmi anugerah dan pelbagai platform lain termasuk Discord, Twitter Direct Message, Facebook Messenger, Amazon Alexa, Google Assistant dan banyak lagi.

Ini menyumbang kepada peningkatan besar dalam penyertaan undian online sebanyak 50 peratus dan mencatat lebih daripada 10.5 juta pungutan undian.

The Game Awards berjaya meningkatkan angka tontonan mereka setiap tahun sejak mula diperkenalkan pada tahun 2014. Berikut adalah angka rasmi siaran langsung untuk setiap tayangan The Game Awards:

  • 2018: 26.2 juta
  • 2017: 11.5 juta
  • 2016: 3.8 juta
  • 2015: 2.3 juta
  • 2014: 1.9 juta

Siaran langsung digital tanpa sebarang bayaran

Bos konsol bergabung meletup – dari kiri: Shawn Layden (PlayStation), Phil Spencer (Xbox) dan Reginald Fils-Aime (Nintendo)

Pencipta, penerbit dan pengacara The Game Awards, Geoff Keighley berkata kepada The Hollywood Reporter bahawa kejayaan anugerah ini adalah berpunca daripada siaran digital tanpa bantuan siaran televisyen.

“Semua hasil yang dicatatkan sepanjang 5 tahun ini berjaya membuktikan fokus kami ke arah tayangan digital melalui 45 platform sambil menambah masuk faktor minat gaming yang semakin berkembang di seluruh dunia,” kata Keighley. Ini bermakna The Game Awards yang disiarkan secara percuma di pelbagai platform mampu bersaing dengan anugerah berprestij seperti Oscars yang memberi penghargaan kepada industri perfileman Amerika Syarikat dan dunia.

Edisi The Game Awards tahun ini menganugerahkan God of War sebagai Game of the Year mengalahkan Red Dead Redemption 2. Tambahan pula, anugerah ini menjadi titik tumpu untuk banyak studio mengumumkan game terbaru mereka seperti The Outer Worlds oleh Obsidian, Mortal Kombat 11 oleh Netherrealm Studios, Crash Team Racing Nitro-Fueled oleh Beenox, Far Cry: New Dawn oleh Ubisoft dan banyak lagi.