Todak lancar e-bengkel kursus asas Mobile Legends, sasar pada pemain baru

By Hazril Md Nor | December 12, 2020

Organisasi e-sukan dan jenama gaya hidup urban, Todak bukanlah asing dalam negara ini. Mereka dikenali menerusi pencapaian pasukan Mobile Legends mereka dengan menjuarai kejohanan MPL MYSG Musim Keenam baru-baru ini dan tempat ketiga di kejohanan dunia, M1.

Bagi menyambung legasi mereka dalam arena profesional MLBB, Todak melancarkan satu kursus dalam talian yang meliputi perkara asas dalam MLBB yang perlu diketahui oleh pemain MLBB yang berhasrat menjadi profesional, secara percuma.

 

Pemain hanya perlu mendaftar dan 30 modul akan dapat ditonton oleh semua. Ia merupakan panduan lengkap bagi pemain baru dan sedia ada yang ingin memahami cara bermain permainan tersebut dengan lebih baik.

Ia akan dikelolakan oleh pemain Todak itu sendiri. Sebagai contoh, Eone akan mengajar cara bermain Tank dan Moon akan mengajar bermain Support.

“Kursus ini diberikan secara percuma kerana kami ingin menjemput lebih ramai lagi pemain-pemain di luar sana untuk bermain secara professional.

“Hal ini kerana, dengan wujudnya lebih ramai pemain yang mungkin mempunyai bakat yang terpendam, arena E-sukan bagi Mobile Legends: Bang Bang secara khususnya akan menjadi lebih meriah,” kata Pengurus Perkembangan E-Sukan Todak, Radzi Rahman atau Ikuto.

Layari pautan ini untuk mengikuti E-kursus dari Todak ini.

Info lanjut boleh didapati di Facebook dan Instagram @todakofficial

Foto: Todak